252 jemaah haji selamat kembali ke tanah air




Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 3 Jun. - Kepulangan jemaah haji setentunya sangat dinantikan oleh ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai, sekali gus menandakan kesyukuran atas sempurnanya mengerjakan ibadah haji. 


Jemaah haji Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi penerbangan pertama yang menaiki pesawat Diraja Brunei (RB) BI4222 telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) pada jam 12.42 tengah hari tadi. 


Jumlah keseluruhan jemaah haji termasuk pegawai-pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji NBD (Perubatan) dan Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. seramai 252 orang. 


Daripada jumlah berkenaan, seramai tiga jemaah perempuan yang terdiri daripada pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan), sementara 101 orang termasuk seorang pegawai syarikat dari DSSB, iaitu 47 jemaah lelaki termasuk seorang pegawai syarikat dan 54 pula jemaah perempuan.


Manakala, seramai 148 jemaah daripada SCA, iaitu 79 jemaah lelaki dan 69 jemaah perempuan.  


Hadir bagi mengalu-alukan ketibaan jemaah haji NBD di LTAB, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dan Datin; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin dan Datin; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke NBD, Tuan Yang Terutama Mr. Saleh bin Abdulkarim Al-Shiha.


Juga hadir, Setiausaha Tetap, KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar dan isteri; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim dan isteri; serta Ahli-ahli Jemaah Penasihat Haji, pengarah-pengarah dan penolong-penolong pengarah KHEU. 


Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.














Close